Ahad, 6 Februari 2011

Keputusan yang ditunggu...

2 Februari 2011

Agak lewat sedikit kali ni kami sampai di meja pendaftaran kepada 3 unit terapi HUKM. Lebih 20 minit lewat huhu...maafkan kami. Nasib baik laa cikgu terapi pertuturan Aimy masih ok menerima kedatangan kami. Kami dibenarkan meneruskan temujanji.

Cikgu Lina suka mendenagr Aimy dah membunyikan sesuatu sekiranya dia berkehendakkan sesuatu. Sebenarnya Aimy memang faham kita bercakap dan bagi arahan kepada dia. Cuma dia tak pandai lagi nak menggunakan bahasa yang sepatutnya. Apa pun bunyi-bunyi yang seragam memang dah lama keluar dari mulutnya. Aimy juga dah pandai memilih dan mengiyakan kalau kita bertanya pada dia. Tapi dengan cara dia sendiri hehe. Alhamdulillah laa nampak juga perkembangan bahasanya. Namun usaha perlu diteruskan lagi. Aimy bukan sahaja perlu diperkenal dengan perkataan-perkataan, tapi kini dengan terjemahan sesuatu perkataan dan sesuatu benda itu. Contohnya "Aimy nak apa? Nak Payung? Nak Payung yang mana? Ohhh yang 'pink'... wahhh cantiknya payung pink..!" Lebih kurang begitulah. Cikgu Lina juga menyuruh kami berikan Aimy pilihan untuk dia menerangkan yang mana satu dia mahu. Tapi memang itu kami telah lakukan di rumah.. hehehe.

Aimy memang sangat suka bila Cikgu Lina tiupkan 'bubble'. Dia tunjukkan espresi dirinya melalui muka, kepala, tangan dan kakinya... tergedik-gedik semuanya...kelakar dan comel! haha. Kelam kabut dia mencari 'bubble' yang berterbangan hehe. Oleh kerana bilik terapi pertuturan ini kecil dan tertutup, Aimy sering mengajak ke pintu. Disuruhnya kami buka pintu. Kemudian bila dia dah tak boleh fokus, dia cuma bermain dengan kerusi dan bakul permainan. Bukan permainan, tetapi bakulnya hahaha.

Dalam 9 lebih selesai kelas terapi pertuturan Aimy. Buat pula temujanji seterusnya.





Selepas ke kaunter pandaftaran semula dan dapatkan kembali buku temujanji Aimy, kami terus ke Pusat Perkembangan Kanak-kanak (CDC) di aras G. Temujanji di sana 11.30 pagi. Kami mulanya menunggu di luar. Kemudian cik abang mula tak menyabar menunggu kan.. hehe. Dia minta buku temujanji dan nak cuba minta diawalkan sekiranya boleh. Alhamdulillah dapat pula tuh!! hahahaha.. Kami yang ke 5. Jadi tetap kena menunggu. Ingatkan akan jadi pukul 11.30 juga, sebab memang dari duduk di lama, kepanasan dek ramai orang, kami keluar pula menunggu di luar CDC. Bawa Aimy sekitar kawasan depan CDC sementelah dia dah mula melasak kebosanan. Alhamdulillah memang cepat kami dipanggil dari masa temujanji asal. Jam 10 pagi kami dah dipanggil berjumpa Doktor Pakar Kanak-kanak yang bertugas di CDC hari itu.

Kali ni bukan Dr Rajini lagi. Doktor lain pula. Perempuan juga, berbangsa India Serani mungkin. Tapi cantik hehe. Pelbagai soalan disoalnya aku. Ada soalan yang sama seperti dulu ada soalan yang bertujuan mengemaskini perkembangan Aimy berbanding 6 bulan yang lepas. Ada soalan-soalan baru. Memang nampak ada perubahan walau tak secara keseluruhannya. Cumanya kali ni Aimy agak bekerjamsa sedikit dengan Doktor dan kurang mengamok bila didekati doktor. Tapi bila disentuh dan dipegang, mula laa aksi menyumbangkan lagunya haha.

Sesambil Doktor menyoal, doktor juga menyampaikan keputusan ujian darah, kromosom dan air kencing Aimy tempohari. ALHAMDULILLAH semua ujian adalah NORMAL!! Syukur ALhamdulillah. Jadi tiada kromosom 21 atau sebagainya seperti kanak-kanak yang biasanya mempunyai pelbagai sindrom. Tapi perlu diingatkan, ujian tersebut hanya 'base-line' sahaja, dan bukan secara mendalam yang memeriksa segala molekul kromosom dan sebagainya. (ini menurut pemahaman aku atas keterangan yang doktor berikan). Jadi tiada antara kami yang menjadikan Aimy tidak normal dari segi genetiknya, sepatutnya la.

NAMUN, Doktor tegas menyatakan, kemungkinan Aimy mempunyai satu jenis sindrom yang dia sendiri belum pasti. Kemudian dia mula memeriksa Aimy secara lebih lanjut walaupun sebelum itu doktor dah puas memandang Aimy dari atas ke bawah dan keliling. Dia buka zip baju Aimy, dilihatnya belakang dan bahu aimy yang banyak bulu roma. Dia lihat telinga, dibuka mulut melihat lelangit dan tekak. Diketuk lutut Aimy dengan alat macam pemukul drum ada piring di hujung tu. Dibelek pula jari jemari Aimy di tangan dan kaki. Dilihat pula tulang belakang, dirasanya tulang kaki dan punggung. Dirasanya tapak kaki. Dipegang dan diukurnya besar kepala Aimy.

Doktor kali ini agak berterus terang walau dia sendiri tak pasti lagi. Katanya Aimy mungkin ada sejenis sindrom yang dinamakan 'Rubenstin-Tybie syndrome'. Itu cuma apa yang dia rasa kemungkinan Aimy ada dari segala yang ada pada Aimy. Dia mahu kami berjumpa pakar genetik kanak-kanak untuk mengesahkan hal ini. Kes Aimy akan dirujuk kepada Dr Zarina di Jabatan Paedetrik HUKM. Katanya bulu roma yang lebat di belakang bahu Aimy, ibu jari yang besar, hidungnya, telinganya yang sedikit rendah, lelangitnya yang sedikit tinggi, kepalanya yang kecil (terlalu kecil bila ditunjuk graf - dibanding dengan ukuran normal). Kelopak mata aimy yang macam tertarik turun, dan Aimy ada masalah mata juga antara petanda 'RTS'. Katanya tempurung kepala Aimy lambat membesar berbanding otaknya, jadi ini yang menjadikan perkembangannya lambat dan mengganggu tumbesaran Aimy. Kiranya sindrom inilah yang membuatkan Aimy ada 'Global Developmental Delay'. Katanya GDD tak akan berlaku tanpa sebab. Pasti ada sebab, dan untuk Aimy setakat ini dia rasakan 'RTS' adalah penyebab utama.

Namun doktor kata, tak semua petanda dan simptom penghidap RTS Aimy ada, sebab itulah dia tak dapat pastikan. Dan dia juga bukanlah pakar yang boleh memperkatakan hal genetik itu secara tepat. Tambahan pula ujian kromosom Aimy menunjukkan kromosom Aimy normal dan tidak mengganggu. Manakala ujian jantung, buah pinggang dan pundi kencing Aimy juga adalah normal (dulu periksa di hospital-hospital swasta). Namun salah satu yang sememangnya Aimy ada yang mungkin diakibat oleh RTS tersebut ialah SEMBELIT! Sembelit pasti berlaku pada kanak-kanak RTS. Jika Aimy disahkan RTS, menu diet Aimy perlu ditukar atas nasihat doktor kelak. Apa pun doktor dah suruh kami ambil ubat untuk membantu sembelit Aimy di farmasi padetrik. Ia ubat yang selamat digunakan dalam tempoh yang lama katanya. Memang pun, itu juga yang kami dapat di DEMC. Tapi dah tak larat berulang dan asyik perlu menuntut surat jaminan dari insuran syarikat cik abang yang seksa nak keluarkan 'GL' tu huhu. Boleh saja kalau pergi ke KPJ Sgor, panel syarikat aku. Tapi cam tak seronok pula bertukar doktor yang dah serasi dengan Aimy - Dr Koshy.

Hmmm.. tak terkata, hanya Allah yang tahu. Apa yang ku harap Aimy pulih dari semua ini dan dapat membesar dengan sihat dan sempurna. Aminnn...

Doktor juga tanya tentang terapi yang telah kami pergi di HUKM. Dia tanya, sama ada kami ada hantar Aimy ke kelas EIP. Kami nyatakan yang kami memang sedang mencari yang terdekat dengan kami. Tapi kami masih kurang sumber. Beliau meminta pembantunya mencari risalah-risalah pusat EIP di sekitar Subang Jaya dan Shah Alam yang mereka simpan. Alhamdulillah ada 3-4 yang boleh kami cuba tinjau nanti. InsyaAllah. Aimy perlu diberi EIP untuk merapatkan jarak kebolehannya berbanding kanak-kanak sebayanya.

Kemudian dia meminta kebenaran kami untuk mengambil gambar muka, tangan (jari jemari aimy) dan kaki aimy. Hanya menggunakan kamera telefon sahaja. Doktor ini lebih peramah dan ceria. Lebih lembut dengan kanak-kanak. Aku suka. Tapi entah kenapa susah aku nak mencari namanya. Puas ku tenung kad nama yang tergantung di lehernya. TIADA nama ku lihat. Aku agaknya yang tak perasan haha.

Kami keluar bilik doktor dalam jam 10.35, menunggu sebentar surat rujukan doktor buat Dr Zarina dan arahan untuk mengambil ubat. Temujanji seterusnya pada bulan Ogos pula..huhu lamanya. Setelah dapat surat rujukan tersebut, buku temujanji dan sedikit penerangan kakitangan CDC di mana kami perlu buat temujanji dengan Dr Zarina dan di mana kami harus mengambil ubat, kami terus bergegas ke bahagian padetrik. Ingatkan boleh buat temujanji terus, rupanya nak kena tunggu Dr Zarina baca dulu surat rujukan dari Doktor di CDC tersebut pula. Alahai. Kata petugas kaunter, mereka akan hubungi aku atau cik abang bila temujanji akan ditetapkan.

Selesai di jabatan padetrik, kami ke kaunter farmasi padetrik. Ambil nombor dan serah buku temujanji. Aku ikut seperti yang diterangkan dek kakitangan CDC tadi. Setelah lama menunggu (aimy mula sangat melasak dan tak boleh diam), nombor dipanggil. Bukan ubat diberi, tapi kami disuruh pergi semula ke klinik asal dan minta slip bil. Cik abang tak faham, dia suruh aku yang tanyakan semula pada orang lain di kaunter farmasi tersebut. Aku tanyakan kembali, rupanya dalam sistem menunjukkan nama Aimy berstatus BERBAYAR sedangkan dia ada kad OKU dan sepatutnya berstatus PERCUMA. Sekiranya berstatus BERBAYAR, kami perlu ada slip bil untuk mengambil ubat. Aduhai dah jadi satu hal melambatkan pula. Cik abang mula lain macam sikit bila lama menunggu. Aimy pula tak diam dan mula tak tentu arah, jadi menduga kesabaran sedikit.

Aku bergegas ke CDC semula meninggalkan cik abang menguruskan Aimy di tempat menunggu depan farmasi padetrik. Laju berjalan dah tak pandang orang. Geram sedikit rasanya, hal sedikit begitu patut boleh diuruskan sesama kakitangan sendiri. Ini pesakit yang kena uruskan pergi ke sana ke mari. Aduhai.. Sampai di CDC pula, orang tengan ramai. Puas menunggu baru aku dilayan. Kakitangan tersebut faham apa yang aku maksudkan, tapi dia cuak pula bila senarai ubat Aimy hilang dari sistem bawah nama Aimy. Aku main teka jer, aku cakap kat dia.. "tak apa kut kak, farmasi tu dah keluarkan kut senarai ubat Aimy tu". Dia pun terus rasa lega dan pastikan status BERBAYAR telah ditukar kepada PERCUMA. Denga laju aku ucapkan terima kasih dan terus keluar.

Sampai di farmasi, aku lihat Aimy dah tertidur di bahu cik abang yang dah mencuka masam dek lama menunggu haha. Bukan salah aku pun kan huhu. Terus aku berikan semula buku temujanji yang ku usung ke CDC tadi dan bagitahu status dah ditukar. Ingatkan terus dapat ubat, tapi kena juga tunggu 5 minit huhu. Bila nombor dipanggil aku dah jadi khayal dek kemengahan, sampai kena ditepuk kasar bahu aku dek cik abang. Tersentak aku. Terus aku ke kaunter, 2 botol besar ubat sembelit Aimy huhu. Kena makan 5ml sekali sehari. Sungguh tak mesra, aku tanya kalau tak ok sembelit dia, boleh ke makan 2-3 kali? (sebab doktor yang kata boleh). Dia geleng kepala dan cakap "sekali sahaja". Aku diam. Dia catat sesuatu pada slip ubat. Aku terpandang nama yang tercatat.. NUR AIMY SUFIA??? Aikk ni mesti CDC yang salah taip ni. Aku pernah terperasan dulu. Aku ingat mereka dah betulkan. Tapi masih ada. Aku cakap pada staff farmasi tu pulak, dia jadi salah faham. Dia ingat aku maksudkan nama tu orang lain dan yang aku maksudkan orang lain. Aku cuma cakap nama anak aku tiada NUR. Pastu terus aku cakap, "tak apalah...biarlah, salah tiada NUR sahaja.. tetap orang yang sama". Pelik tu aku cakap begitu baru dia faham dan angguk dan potong nama NUR dari slip tu. Tapi apa pun kesannya, bukan ubah dalam sistem. Jadi sama sahajalah, tetap taida perubahan macam status berbayar tadi hahaha. Selepas masukkan sendiri 2 botol besar ubat tersebut ke dala bag kertas yang disedia di kaunter farmasi, aku terus mengikut cik abang yang dah jauh laju meninggalkan aku menuju ke tempat letak kereta.

2 ulasan:

  1. saya faham apa yang akak lalui..itulah jadi pada saya apabila berulang kali TCA di klinik paedtrik hosp s****ng.
    moga anak kita membesar,sihat dan senantiasa dilindungi yang maha Esa..
    semoga akak tabah sekeluarga..

    BalasPadam

Letakkan apa jua rasa hatimu terhadap tulisanku

Catatan Popular