Isnin, 31 Januari 2011

Kali ke 2 di Wad Mata HKL




30 Januari 2011
Seawal pagi kami bersiap walau ikutkan hati mahu saja menyambung tidur. Lesu jer sejak sebulan lebih ni.

Sampai di HKL dalam 9.30 pagi tak salah. Pergi bersama semua anak-anak. Plannya Alesha dan Adani akan kami tinggalkan di rumah Wan mereka di Jinjang. Kesian pula nak tinggal di rumah dengan bibik. Pasti mereka bosan asyik benda yang sama hendak dihadap hehe.. Kebetulan lama dah tak ke rumah Wan mereka, rindu pada Arianna sepupu mereka hehe. Tapi oleh kerana nak cepat, kami bawa mereka ke HKL dulu.

Aku dan anak-anak pergi mendaftar di pejabat kemasukan wad di sebelah jabatan kecemasan sementara cik abg mencari tempat meletak kereta (dah tentu 'illegal parking' paling dekat dia belasah...haha). Sekejap sahaja dah selesai. Lebih mudah kerana Aimy ada kad OKU. Jadi kata petugas di kaunter, bayaran tidak diperlukan nanti. Alhamdulillah. Maka kami terus keluar mencari cik abang yang dah membawa bag menunggu di depan pintu masuk.

Ketika nak naik lif, kami ditahan. Alesha dan Adani tak dibenarkan naik bersama kami. Kanak-kanak memang tidak dibenarkan berada dalam wad sebelum waktu melawat. Mereka diarah ditinggalkan bersama polis bantuan tersebut. Alahai, cuak gak.. kang apa jadi, hilang ke apa...macam mana? Mereka tetap berkeras tak membenarkan anak-anakku itu ikut. Kesian aku lihat wajah mereka. Dah diam cuak. Dahulu masa kali pertama diarah masuk wad mata, Alesha dan Adani dibenarkan naik sekejap mengikut kami. Kali ni kami merayu pun tetap tak dibenarkan. Alahai.. akhirnya kami tinggalkan juga. Takut nanti terlambat nak daftar di Wad Mata - Wad 17, tingkat 4.

Kali ni dapat katil no 36. Entah kenapa dari awal aku dah set minda untuk pilih katil tersebut. Katil paling hujung dekat dengan dinding dan tak jauh dengan tandas hehehe. Mulanya cik abang pilihkan katil no 31, kerana katil yang kami dapat masa pertama kali masuk dulu 34, dah ada orang. Aku tak setuju, sebab katil di tengah antara orang. Aku suka di tepi hehe. Alhamdulillah dapat dan memang kosong hehe. Apa pun kali ni terasa sudah biasa, selesa dan tenang. Makanan pun telah dinaik taraf kata jururawat. Memang betul, sedap dan terasa laa juga. Berbanding dulu, tengok pun tak sedap apatah lagi bila makan.. Bukan sombong bukan mengada, tapi memang makan seperti dipaksa-paksa. Rela makan roti sweeties hari-hari dari makan nasi hahahaha. Alhamdulillah kali ni semua ok. Malah bilik air pun semakin bersih. Cuma yang lainnya, Aimy semakin lasak dan tak boleh ditinggalkan tanpa pantauan, sebab itu aku bawa bantal satu selain bantal Aimy.

Kami minta kebenaran nak keluar semula dan datang semula jam 12 tengahari. Nurse tanya, belum makan ya Puan? Aku antara angguk dan tidak.. tak reti berbohong haha. Tapi dia membenarkan. Dia kata kena datang balik cepat la, takut doktor datang awal untuk periksa Aimy sebelum masuk 'Operation Theater' (OT)esok. Makan kat sini-sini sahaja kan? (aku tak sempat jawab dia dah sambung ayat). Jadi...selamat aku nak menjawab lagi haha. Kami tinggalkan bag pakaian dan keperluan lain. Bawa susu dan nestum Aimy sahaja. Bergegas kami ke lif dan turun ke bawah. Sampai kami semula ke bawah depan pintu masuk, kami lihat dua beradik tu duduk di satu kerusi berkongsi berdua sambil menyonyot gula-gula lolipop dan di tangan masing-masing ada pula sekotak air milo. Haha..patut baik jer. Tanya mereka, mana dapat? Alesha tunjuk abang-abang polis bantuan tu hehe. Saja ngusik mereka, oh abang polis rasuah ek?? hahaha. Ucap terima kasih pada mereka dan terus keluar. (Aik berubah jadi manis wajah mereka bila tersenyum berbandaing masa awal tadi masing-masing serius!!). Hujan masih turun, maka kami tunggu di lobi sementara cik abang mengambil kereta. Terus ke Jinjang. Ketika itu jam dah menghampiri 10 pagi.

Sempat borak-borak dan makan-makan pagi di rumah Ibu mertuaku itu. Tapi nasib la terasa nak tengok telefon, ada 2 'missed call'. Rasanya dari HKL. Tengok panggilan dalam jam 11.35am. Masa aku lihat tu jam hampir pukul 12. Cepat bersiap semula ke HKL. Tinggalkan 2 beradik yang asyik bermain dengan sepupu mereka. Dalam perjalanan nurse call lagi. Dia kata doktor dah datang. Tadi mereka telefon aku tak dapat..tak perasan laa..sorry... hehe. Sampai di wad, tak ada pun kena panggil. Dia suruh tunggu di katil jer. Laa...ingatkan dah kena panggil. Sudahnya 2-3 jam kemudian baru doktor datang menjengah di katil. Lewat petang doktor bius pula menyoal jawab. Tandatangan kebenaran bius dan segala. Selesai.






Bosannya duduk sahaja. Nasib laa Aimy tak merengek. Dia cuma ajak main. Bagusnya, dia tidur 2-3 kali berbanding di rumah yang hanya sekali waktu siang. Agak lama juga tidurnya.. tak ada laa 15 minit macam selalu hehe. Tapi yang tak bagusnya, mula dari tengahari dia mula demam panas. Suhu terus naik 38.4C..aduhai cuak aku. Aku mandikan pun tak turun sangat. Lap-lap badan.. suhu turun sikit jadi 37.8, tapi kejap-kejap naik semula. Aduhai risau aku. Boleh ke tak ni nak masuk OT?? Bila jam dah menunjukkan pukul 6, selepas bagi Aimy makan dan mandikan.. aku minta cik abang carikan ubat demam. Risau kalau terusan begini. Keluarlah cik abang mencari farmasi. Hari Ahad pula tu, banyak yang tutup. Dah maghrib baru cik abang balik. Terus aku bagi pada Aimy dan tidurkan dia. Kami bergilir solat. Alhamdulillah makin lama suhu dia makin turun. Syukur Alhamdulillah. Tapi susah nak suruh dia tidur. Dah nak tidur mengantuk pun, mata dia susah nak terpejam. Aimy tidur baru cik abang balik, amik anak-anak di rumah mertua dan terus balik ke rumah kami. Esok anak-anak perlu ke sekolah.

Aku mula tu mengantuk, dah tertidur, sekali jam 12 terjaga semula membancuh susu Aimy. Nak paksa Aimy minum susu kerana dia perlu puasa bermula jam 2 pagi hingga keluar bilik operasi. Tapi Aimy dibenarkan minum air sampai jam 6 pagi. Alhamdulillah laa Aimy ni jenis tak minta susu dinihari. Memang dia minum air sahaja kalau haus dinihari. Dalam tidur dia, aku paksa dia minum dapatlah hampir separuh botol sahaja habis sampai jam 2. Lebih separuh lagi terbiar. Terus aku gantikan air untuk paksa dia minum.

Aku mula tak boleh tidur selepas jam 2 pagi. Paling tak suka, asyik bersin dah jadi macam selsema pula. Rasanya ni alahan sejuk dan habuk kut.. huhu. Beriya aku berselimut. Sejuk sangat rasanya. Maklumlah hujan sepanjang hari. Walau wad HKL tiada penghawa dingin, tapi sejuknya tak tertahan rasa. Aku selimutkan Aimy juga, selamber dia tendang walau tengah tidur. Bertuah betul!.Baru nak terlelap, jam 4.30 pagi nurse datang periksa tekanan darah Aimy pula. Lampu dipasang terang benderang. Membuatkan budak-budak terjaga dan bangun main terjerit-jerit awal begitu. Alahai memang tak boleh tidur. Sudahnya aku asyik periksa suhu Aimy ...risau! Suhu dia ok. Tapi bila jam 6 pagi, suhu dia naik semula. Aduhai cuaknya... Rasa nak bagi ubat jer lagi. Tapi takut nanti beri kesan tak bagus sebab nanti dia akan dibius pula.. Berdoa tak putus aku. Usai solat subuh periksa semula suhu Aimy dah turun semula kepada 37.3C...Alhamdulillah. Paling tidak ia suhu yang ok untuk Aimy yang memang bermasalah dalam pengawalan suhu badannya.

Nurse datang ke katil jam 6.40 pagi. Dia suruh kami bersiap sedia, kerana pihak OT suruh kami datang awal. Dalam jam 7 lebih gitu. Aik semalam kata paling awal 7.30 baru pergi. Cik abang tak sampai lagi ni. Aimy memudahkan aku bila kebetulan dia terjaga. Terus aku bukakan baju dia, dan basahkan sedikit badan dia, basuh muka, basuh punggung segala... mandi koboi jer dek.. sejuk sangat-sangat airnya. Kasi dia segar dan bersih jer. Pakaikan baju bersih, sikat rambut dia.. kasi dia ceria sket. 7.10 terus dipanggil untuk keluar bersama seorang auntie india yang akan dibedah mata juga ke bilik OT. Mula tu 2 orang nurse mengiringi kami. Tapi kemudian nurse yang seorang tu terpaksa mengambil lagi seorang pakcik pula.







Lama juga urusan nak masuk OT.. macam berlaku kesesakan keluar masuk 'stretcher' dan kerusi roda haha. Sampai bising seorang sister bila ada kekeliruan siapa dulu. Yang pasti nama Aimy memang giliran pertama. Kami dah diberitahu masa daftar masuk semalam sampai la di tempat transit bilik OT tersebut. Sempat la aku dipakaikan baju sarung untuk masuk OT dan serkup kuning untuk kepala. Aimy tak mahu dipegang nurse. Jadi, sambil sarung baju, aku pegang Aimy. Nasib adik nurse tu tolong. Kalau dulu, nurse tu tahu suruh jer..hehe. Kali ni Aimy memang jelas kelihatan cuak. Dia macam tahu, kerana kejap-kejap dia ala nangis kecil. Kalau dulu masuk kawasan OT kena tunggu sekejap, kali ni tidak. Kami terus diarah ke bilik OT 10. Aku hanya dibenarkan melihat Aimy dibius, pegang Aimy sekejap dan dibawa keluar ke kawasan menunggu. Kalau dulu aku disuruh cium Aimy. Kali ni tidak pula. Jadi aku cuma cakap "babai dek..ibu kat luar". Aku sempat ambil gambar Aimy dibius sebelum keluar. Jam ketika itu 7.51 pagi.

Di tempat menunggu aku berborak dengan seorang pakcik dari wad yang sama. Patutnya pakcik tu dulu masuk ke bilik OT 11. Tapi auntie india tadi pula yang mereka masukkan. Tapi memang kesian jadinya pakcik tu, sebab menunggu terlalu lama. Berborak dari hal sakit mata sampai laa hal kerja dan mendidik anak-anak. Seronok juga bertukar pendapat dengan pakcik ni..hehe. Tapi bila 40 minit berlalu aku dah mula asyik melihat jam, perasaan berdebar mula terasa. Apa yang pakcik tu bercakap pun dah tak semua masuk dalam kepala aku. Asyik merenung ke arah lorong ke bilik-bilik OT. Masa terus berlalu sehingga tepat 1 jam aku nampak kelibat doktor-doktor bius. Tapi tiada yang memanggil aku. Aduhai cuak dah.. kenapa lama sangat? Dulu 30 minit dah selesai semua.

Jam 8.58 aku dipanggil dek nurse ke tempat pemulihan selepas keluar OT. Nampak Aimy diiringkan badan sambil dibeir oksigen. Kemudian terdengar aimy menangis...merengek jer macam kesakitan. Tanya doktor bius, dia kata tiada komplikasi dan oksigen dan degupan jantung ok. Syukur Alhamdulillah. Tapi walau ok, tak boleh terus keluar. Kena tunggu sampai betul-betul mereka berpuas hati. Tak lama tu Dr Jamaliah iaitu doktor pakar mata Aimy datang. Diam jer dia merenung Aimy, sambil memegang kepala dan menongkat dagunya.. Aku pandang dulu doktor. Tapi dah lama tu tak menahan nak bertanya. Ku tanyakan juga.."bagaimana tekanan mata Aimy doktor?"

Doktor jawab "hmmm tekanan ok, masih normal.. dalam 13-15. Tapi saraf nampak macam ada glucoma. Tapi kami tak pasti bagaimana. Sebab saraf dia tak memberi kesan kepada tekanan mata. glucoma tu ada, tapi tekanan tak kelihatan" Aku menyampuk mengingatkan yang dulu tekanan mata Aimy cuma 3++ sahaja. Maknanya meningkat juga. Doktor kata, "tapi ia masih normal, cuma saiz mata dia makin membesar dan power dia dah jadi 1000-1100" Doktor tanya, paling akhir periksa mata dia bila? dan berapa power dia masa tu. Aku jawab dalam hujung tahun lepas, hujung November macam tu. Masa tu pun telah meningkat asal kiri 500 kanan 100, dah jadi kiri 700 kanan 500. Kali ni dah jadi kanan 1000, kiri 1100. Aduhai, tetiba aku jadi macam doktor juga, termenung memikirkan. Aimy pula mula terjaga semula, merengek macam ada yang sakit, tidak selesa. Aku dukung dan tidurkan dalam pelukan. Tak lama Aimy tidur. Wayar sambungan pada mesin oksigen dan lain-lain pula masih terpasang pada badannya. Kata mereka, sekarang tengah menunggu nurse dari wad datang menjemput pesakit.

Ketika menunggu nurse mencetak laporan oksigen segala, Dr Joseph Ketua Pengarah Klinik Pakar Mata datang pada aku dengan Aimy. Sebenarnya memang Dr Joseph menjadi pakar ophtamology Aimy sejak mula. Katanya masalah Aimy "Rare Case". Tekanan tiada, tapi kelihatan bagai ada glucoma. Sedangkan glucoma ni berasal dari tekanan yang terhasil dari saraf mata yang tersumbat. Memang memeningkan. Katanya, mereka akan bincang lagi untuk lakukan tindakan selanjutnya, kerana mereka dah cari saraf yang mungkin tersumbat. Tapi tiada. Walau tekanan matanya meningkat, tapi ia masih dalam ukuran yang normal (bawah 1-20 = normal). Dia bercadang untuk jalankan pembedahan pada mata Aimy dalam waktu terdekat ini. Sedang dia masih bercakap dan berfikir di hadapan aku.. Dr Joseph dipanggil masuk ke OT semula. Tergantung cerita jadinya... Aku menunggu juga, dah nurse pun kata Dr Joseph nak sambung bincang. Tapi dah sibuk dengan kes lain, akhirnya kami diarahkan pulang ke wad. 9.51 pagi baru bergerak keluar dari kawasan OT. Aimy terus sedar bila diambil ayahnya. Aku terus menanggalkan baju OT. Lega rasanya walau berat rasa hati menerima berita.







Sampai di katil, terus bancuhkan Aimy susu. Aimy mamai jer, nak tidur jer.. Lemah nampak dia. Merengek jer. Sakit rasanya line di tangannya tu. Kejap dia tidur, kejap terkejut dan terjaga. Susu tak berapa luak. Tak ada selera agaknya. Tengahari pakcik Hairenya datang melawat. Sesambil kami berbual, aku periksa suhu Aimy...ya Allah suhunya meningkat tinggi, 39.9C !!! Patut dia merengek dan terkejut-kejut. Terus aku bukakan bajunya dan mandikan. Tapi suhu tetap lebih kurang jer. Akhirnya kami minta ubat dari nurse, dan bagitahu suhu Aimy. Nurse datang masukkan ubat demam ke dubur Aimy. Kami disuruh selalu basahkan badan dan kepala Aimy. Cik abang dah mula risau takut tak boleh keluar hospital petang ini seperti yang dijanjikan doktor.

Dah petang suhu Aimy turun naik antara 37.8-38.4C. Tapi bila nurse periksa gunakan termometer mereka suhu Aimy 37.2C hehehe. Mana tak jadi gitu, termometer zaman tok kaduk mereka gunakan. Termometer yang ada raksa/merkuri sebagai penunjuk aras suhu tu. Aduhai, dah zaman moden begini, masih ada lagi menggunakan termometer demikian? huhu. Tapi tu juga yang bagusnya, ia membolehkan kami keluar lewat petang itu hehe. Doktor (bukan pakar) datang dalam 4.30 petang begitu. Memberitahu apa yang berlaku dan keputusan doktor untuk mengarahkan kami datang semula dalam sebulan untuk pemeriksaan mata Aimy (1 Mac 2011) dan Aimy di arah masuk semula ke wad dan OT untuk dibedah (mungkin) pada 10-11 April 2011. Kata doktor lagi, oleh kerana Aimy demam, ia hanya dibenarkan balik sekiranya demamnya telah hilang petang ni. Kalau tidak, esok baru dia benarkan kami balik. Aimy dibekalkan dengan ubat titis dan ointment untuk mata. Maka lewat petang Isnin itu, Aimy diperiksa sekali lagi dengan termometer tok kaduk mereka, 36.9C!! hahahhaa...sedangkan aku periksa guna termometer aku 38.2C...huhu.

Apa pun memang kami rasa Aimy terlalu sensitif untuk berlama di HKL. Tempat yang ada 1001 macam penyakit. Dia pula amat sensitif dan mudah dijangkiti sakit. Jadi membawa balik adalah jalan terbaik. (Alhamdulillah selepas balik, suhunya terus turun kepada 37.5C dan pagi esoknya dah tak demam. Syukur Alhamdulillah)

Alhamdulillah kami sampai di rumah lagi beberapa minit jam 7 petang.

Keputusan pemeriksaan kali ini amat merisaukan kami. Walau segalanya belum dapat disahkan lagi, tapi risau, cuak, sayu. Namun harapan perlu dibina, agar segalanya diterima secara positif dan peluang untuk pulih insyaAllah pasti ada...Aminnn

Doakan penglihatan Aimy akan terus pulih dan segala kesihatannya sentiasa dalam keadaan baik... Amin.

3 ulasan:

  1. masuk wad ? untuk cek darah tu ke ? apapun, semoga semuanya selamat. adatak tulis entri pasal spec mata Aimy tu. nak tahu detail, framenya tu khas utk budak2 kan? buat kat hospital ke ? anak saya pun sebenarnya ada spec mata sbb anak mata dia tak fokus. Tapi jarang sgt pakai sebab framenya, mungkin sakit dipakai..klu kelapangan nnt, reply ehh..

    BalasPadam
  2. nuyin (sorry saya lupa nak panggil apa hehe)
    spec Aimy dibuat di HKL. Sila lihat entry awal tahun lepas. Framenya plastik yang anjal dan cerminnya pun dibuat oleh sub kon HKL. Dulu kami buat semua sekali dalam RM360 tak salah.

    Menurut optometri di HKL frame tersebut diimport. Kalau di kedai 2-3 kali ganda harganya.

    Jangan jarang pakai, nanti makin teruk mata anak. Tapi biasalah budak, akan cepat rimas dan tarik. Tapi kalau tak biasakan memang dia terus tak mahu.

    BalasPadam
  3. oo gitu..thanks...nnti nak tanya kat spital seremban ni, hr tu xd plak dr suggestkan frame cam gitu..

    BalasPadam

Letakkan apa jua rasa hatimu terhadap tulisanku

Catatan Popular